Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca.
~Ramadhan datang kembali. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam setiap tahun. Bulan penuh keberkatan, penuh keampunan, penuh pahala. Tapi mampukah kita beroleh segala yang telah dijanjikan oleh Allah dalam bulan ini. Semoga kita sama-sama berebut pahala dan rahmat yang ditabur olehNYA dari awal hingga akhir Ramadhan.
~Tahun ini merupakan tahun pertama berpuasa sebagai suami isteri tapi apakan daya, kami tetap berpuasa berjauhan. Seorang ke hulu, seorang ke hilir. Di hujung ramadhan apabila bermulanya cuti sekolah sahaja dapat melalui puasa sebagai suami isteri. Besar dugaan Allah buat kami, tapi entah2 ada lagi insan yang menerima dugaan lebih dari kami. Ya Allah, tabahkan hati kami, sabarkan iman kami dengan segala dugaan yang mendatang sepanjang Ramadhan ini. jadikanlah Ramadhan ini yang terbaik buat kami dalam bergelar suami isteri.
~Tahun ini, aku akan berpuasa di SK Long Sepiling, tempat bermulanya khidmatku sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan atau lebih dikenali sebagai GURU. Tempat yang dengar khabarnya tiada penduduk Islam. Bagaimanakah keadaanku di sana nanti dengan ditemani ibunda tercinta? Moga pengalaman berpuasa di tempat baru ini akan meningkatkan lagi takwa dan iman hamba Allah ini.
~ Buat suamiku, imamku, pemimpinku dunia akhirat, semoga Ramadhan kali ini kita beroleh rahmat, redha dan bertemu Lailatul Qadar. Moga jarak yang memisahkan kita tidak akan mematahkan semangat, iman dan takwa kita dalam melayari 'masjid' yang telah kita bina. Ya Allah, kekalkan rasa kasih, sayang, cinta dan kesetiaanku biarpun berjauhan darinya. Ya Rahman, ya Rahim, aku pohon kepadaMu agar ramadhan ini kami mampu beroleh pahala dan rezeki berlipat ganda dariMu.Ya Mussowir, kurniakan kami kesabaran dan ketabahan hati menempuh segala tohmahan dan cacian dari hamba-hamba Mu. Biarlah tohmahan dari manusia, jangankan kami mendapat tohmahan dan cacian dariMu. Aku pohon redha dan rahmat Mu untuk kami semua.
~Buat umat Islam, selamat berpuasa. Selamat menahan hawa nafsu, menahan diri dari makan dan minum, menahan telinga dari mendengar perkara yang tidak elok, menahan mulut dari mencaci, menghina, mengumpat dan mengkeji. Ya Allah, jadikan mata kami, telinga kami, mulut kami, tangan dan kaki kami jauh dari segala kemaksiatan dan kami hanya berbuat kebaikan. Moga Ramadhan 1431 H inilah Ramadhan yang terbaik buat kami hambaMu.
No comments:
Post a Comment