i'm in love...

Daisypath Anniversary tickers

our beloved son....

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Friday, January 11, 2013

~ Petunjuk? ~

Salam sejahtera buat semua insan bergelar hamba Allah. Apa khabar iman hari ini? Adakah lebih baik dari semalam atau sebaliknya?
YANG MANA SATU?

~ PETUNJUK! Apa itu petunjuk? Bagaimana rupanya? Pelbagai persoalan menerjah minda apabila memohon sesuatu dari Allah dalam membuat pilihan. Ada yang mengatakan petunjuk akan datang dalam bentuk mimpi, ada pendapat mengikut gerak hati, ada pula yang memberitahu melalui orang tengah dan macam-macam lagi. Ingin sekali mengajak pembaca berfikir, sejauh mana jawapan dari Allah itu datang kepada kita untuk memilih keputusan dalam hal-hal yang agak besar dan boleh memberi impak kepada perjalanan hidup.


MIMPI DAN TIDUR

~ Yang PERTAMA, sekiranya datang dalam mimpi seperti yang dikata. Adakah kita boleh terus mengambil ia sebagai jawapan kepada permohonan kita dan terus berhenti memohon kepada Allah? Mimpi ini mainan tidur. Kita hamba Allah yang tidak maksum seperti Rasul SAW. Mimpi kita mungkin hanya kerana fikiran dan hati yang sering teringat-ingat dengan perkara tersebut sehingga kita bermimpi. Mimpi berlaku di luar pemikiran sedar. Sebagai contoh, kadang-kadang kita bermimpi kawan-kawan lama setelah seharian berbual atau berSMS kerana rasa rindu yang terbawa hingga ke tidur. Mungkin ada yang pernah mengalaminya. Setiap yang dibualkan pada siang hari bermain dalam layar mimpi pada malamnya.Renungkan bagaimana keadaan kita sebelum tidur, adakah cukup bersih dan suci baik dari fizikal, hati, dan emosi. Kalau kesemuanya OK, kemungkinan mimpi yang berlaku itu ada petunjuk.


YANG MANA HATI KITA???

 ~ Yang KEDUA pula dari gerak hati. Hati oh hati. Adakah tiada titik hitam dosa yang bertaburan di atasnya? Adakah ia seputih hati Rasul SAW, atau sahabat nabi? Ya Allah, kita cuma hamba akhir zaman yang sering ternoda dengan pelbagai dosa-dosa kecil setiap hari. Dosa kecil yang dikumpul tanpa sengaja atau sengaja sehingga hati kita hitam tanpa cahaya kerana terlupa cinta dan kasih Allah. Ada yang mengatakan naluri ibu kadangkala betul. Itu mungkin benar juga, kerana naluri dan gerak hati, Allah telah hadiahkan untuk insan bergelar wanita.Allahulam. Kemungkinan selepas memohon petunjuk, ada yang masih ragu-ragu,tidak tenang, tapi belum tentu perkara yang dimohon tidak baik untuk kita. Renung kembali ayat al-baqarah 216 'Dan boleh jadi kamu tidak suka akan sesuatu perkara sedangkan ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka sesuatu perkara sedangkan ia tidak baik untuk kamu, dan Allah tahu sedangkan kamu tidak mengetahuinya. 

 ~ Kesimpulannya, dalam memohon petunjuk, jawapan dari Allah akan datang dalam pelbagai bentuk. Memohon petunjuk dari Allah bukan bererti memohon jawapan dengan segera, tapi kita meletakkan tawakal dan berserah kepada Allah dalam urusan. Dalam kehidupan seharian, mungkin ada juga jawapan yang ditunggu tanpa kita sedari kehadirannya. Allah itu Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, setiap doa ada jawapan yang diberikan, cuma berlainan cara dan waktu untuk mendapatkannya. Mungkin Allah tidak mahu memberi kerana ada yang lebih baik di hadapan. Teruskan memohon kerana Allah suka hambaNYA yang sering meminta kepadaNYA dan bertawakal kepadaNYA. Renungkan doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam memohon petunjuk dari Allah. Rasulullah SAW menganjurkan umatnya untuk memohon supaya redha dengan apa jua jawapan dari Allah.


 "Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya". 


 ~ TERUSKAN ISTIGHFAR DAN BERDOA KEPADA ALLAH. HATI YANG BERSIH DAN SUCI LEBIH MUDAH MENDAPAT PETUNJUK-NYA.~

No comments:

Post a Comment