Terbaca post seorang sahabat di FB mengenai bukannya mencari kesilapan takdir dalam kehidupan,tapi carilah kesilapan kita sebagai hamba. Banyak benda yang kita akan keluhkan dalam kehidupan seharian seolah-olah kehidupan kita tidak pernah cukup walaupun harta bertimbun, kereta ada, wang ada, sahabat ramai, keluarga masih ada semuanya. Susah benar untuk diri kita mengucapkan syukur walaupun telah hidup di alam fana ini bertahun-tahun dengan pelbagai kemewahan.Tidak pernahkah terfikir bagaimana susahnya kehidupan insan lain seperti anak yatim yang kehilangan orang tuanya sejak kecil, bayi yang terbuang tidak sempat menghirup udara di dunia, orang miskin yang hanya makan nasi berlaukkan garam, manusia yang hidup hanya beralaskan kotak dan berbumbungkan jambatan. Apa semua itu tidak membuka mata untuk terus bersyukur dengan nikmat yang ada.
Jangan disalahkan takdir apabila tidak mampu menempuh ujian yang diberi. Ujian yang mendatang sekadar sebesar kuman berbanding ujian yang Rasul junjungan kita lalui sewaktu amanah yang diberi untuk menyebarkan agama Islam. Ingatlah, bahawasanya Allah telah berfirman dengan maksud lebih kurang begini:" Tidak beriman seseorang hamba itu andai belum diuji oleh Allah SWT." Ujian mendatang tanda kasih dan sayang nya tapi bagi yang berfikiran kolot, pasti ujian itu hanya menyusahkan kehidupan. Bercakap mengenai ujian, ingin dikaitkan di sini seperti UPSR yang sedang berlangsung, kenapa dan mengapa wujudnya UPSR, pastilah untuk menguji keupayaan murid-murid mengenai ilmu pengetahuan yang telah dipelajari bertahun-tahun di sekolah rendah.Di dunia ini, kita diuji mengikut tahap pelajaran, usia 12 tahun UPSR, apabila menganjak 15 tahun PMR pula, usia 17 tahun SPM lagi, lepas tue ujian STPM atau Matrikulasi, kemudian ujian-ujian sepanjang berada di menara gading, apabila dah masuk ke alam pekerjaan penilaian dari majikan setiap hujung tahun, tapi pernahkah kita mengeluh kenapa perlu diuji dan dinilai untuk semua itu. Mungkin ada mungkin tidak, sebabnya ganjaran dan kesan yang diperoleh dari ujian-ujian itu akan kita dapat dalam tempoh yang singkat. Andai bagus keputusannya, dapat la hadiah berupa wang, harta, kenaikan pangkat, kenaikan gaji dan semua benda-benda yang nampak di mata. Andai teruk ujian itu, kita akan kehilangan apa yang ada. Oleh sebab itu, manusia tidak mengeluh untuk ujian yang diciptakan oleh manusia sendiri, kerana semua nampak kesan dan ganjaran serta mata. Akan tetapi, ujian Allah itu sepanjang kehidupan di dunia ini, sering dikeluh dan dicaci dimaki (nauzubillah) kerana ada ganjaran dari bersabar dengan ujian tidak pernah disedari dan syurga yang dijanjikan tidak nampak di mata.
Andai semua ganjaran dan kesan buruk dari tingkah laku kita hatta mengeluh sedikit pun, pasti kita akan cuba untuk bersyukur dengan segala apa yang ada. Andai neraka dan syurga itu nampak, pasti ramai yang takut menyalahkan takdir dan melupakan Allah walau sesaat. Tapi Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Menentukan segalanya, sebab itu Allah tidak menunjukkan semuanya kepada kita. Kalau semua 'soalan' ujian ditunjukkan berserta ganjarannya pasti susah untuk membuat penilaian dan membahagikan hadiah-hadiah nanti. Tiada soalan bocor dalam kehidupan manusia kerana ganjaran yang Allah janjikan tiada tolok bandingannya.
p/s:akan disambung kemudian, mode menulis terganggu.....
No comments:
Post a Comment