i'm in love...

Daisypath Anniversary tickers

our beloved son....

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Friday, October 29, 2010

~30.10.2010~

~Setelah sekian lama tidak mencatatkan kisah ceritera kehidupan di laman ini. Hujung minggu yang lalu merupakan kenangan terindah kerana aku telah dapat menyambut hari lahir suamiku dengan adanya aku di sisinya.Walaupun pada waktu itu, satu ujian telah menimpa suamiku dengan tidak disangka-sangka. kehilangan dompet dan dokumen-dokumen penting di dalamnya amat memeningkan kepalanya.Aku hanya mampu mendoakan urusannya berjalan dengan lancar.Mendoakan dirinya agar sentiasa mendapat ketenangan hati. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik. Kami sempat meluangkan masa bersama walaupun hanya 2-3 hari.

~ Penyataan yang aku dapat hari ini agak menekan jiwa dan perasaan. Setelah sekian lama aku berfikir mengenainya tapi aku masih begitu juga.Apakah diri ini kekurangan sesuatu..adakah aku tidak mampu.. atau ini ujian dari Allah dan Dia sengaja menangguhkan ia buat ketika ini.Setelah membuat perkiraan dari tarikh itu, aku melihat aturannya sama dari mula-mula..2 kali aku mengalami situasi yang sama, 2 minggu terlewat dan akhirnya tiada apa-apa.Ya Allah, hati ini lemah untuk menghadapinya. Sebahagian dari diri ini sangat menginginkannya. tapi aku tidak boleh membuat segalanya dengan sekelip mata. Ya Allah, engkau bantulah diri ini. Kau kurniakan aku andai aku layak menerimanya.Andai aku tidak berkelayakan, kau kurniakanlah dirinya insan yang mampu memberi apa yang dia inginkan. Aku redha dengan ketentuanMu..


Wednesday, August 25, 2010

Catatan 15 Ramadhan 1431H

~ Cinta luhur tidak pernah rasa sunyi walaupun pasangan tiada di sisi. Kenangan manis, perasaan cinta dan impian kasih menjadi teman di kala sendirian.

~ Kehidupan adalah tidur kamu, kematian adalah bangunnya kamu, sedangkan manusia berada antara kedua-duanya umpama khayalan.

~ Cinta abadi menyakini pasangan kita adalah insan terbaik kurniaan Allah kepada kita, walaupun ramai insan yang mungkin lebih baik daripadanya. Hargai dan sayangilah pasangan anda seadanya.

~Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya. Dia memberikan rezeki dari punca yang tidak diketahui. Sesiapa sahaja yang bertawakal kepada Allah akan Allah mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNYA. Allah telah melaksanakan ketentuan untuk setiap perkara. (Surah At-Talaq: Ayat 2-3).

Tuesday, August 24, 2010

Catatan 24.08.10

~Seminggu sudah berlalu dari tarikh aku mula melapor diri. Singkat sungguh rasanya masa. Tanpa disedari esok tepat seminggu aku berada di sekolah ini. Sekolah yang amat menunggu kedatangan guru opsyen bahasa Inggeris bagi mendidik anak-anak kayan supaya menjadi orang lebih berguna sepertimana yang tertulis di dalam falsafah pendidikan. Selama lapan bulan ketiadaan guru bahasa inggeris, murid diajar oleh seorang guru yang sanggup mengambil alih tugas walaupun beliau tahu risikonya tinggi. Bukan opsyen inggeris mengajar bahasa tersebut demi melihat anak didiknya beroleh kejayaan yang cemerlang di dalam UPSR. Itulah guru, sanggup berbuat apa sahaja, memberi ilmu sebanyak yang mungkin kepada murid-murid tidak kira apa jua bangsa dan agama. Sungguh mulia pekerjaan guru yang aku pilih. Moga guru di seluruh dunia beroleh rahmat dan kasih sayangNYA.

~ Hari ini 14 Ramadhan, bermaksud tinggal lagi setengah perjalanan Ramadhan akan berakhir. Gembira kerana akan bertemu keluarga dan paling utama suami tercinta seminggu akan datang. Tapi hati ini sedih dan sayu apabila mengenangkan perginya bulan keampunan, bulan kerahmatan, bulan penuh dengan peluang berpahala. Untuk bertemu bulan ini belum tentu lagi kerana dalam masa setahun kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Dalam bergembira untuk berhari raya, janganlah sekali-kali leka dan lalai untuk mengejar sepuluh malam terakhir ramadhan, lailatul qadar, malam penuh keberkatan. Beruntungnya andai kita dapat bertemu malam itu,dapat beribadah di malam itu. Beribadatlah sepenuh hati, tunaikan tarawih, tadarus, tahajud, sebanyak yang mungkin. Bisa jadi bulan Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat kita. Allahualam.

~Jauhnya aku dari keluarga mendidik aku untuk menghargai semuanya. Menghargai masa yang diberikan Allah untuk aku berkhalwat, bersendiri mengenang dosa-dosa lampau, bermuhasabah diri, memperbaiki salah silap tutur kata. Allah benar-benar maha kuasa, ditempatkan aku di sekolah yang berada di ulu baram, supaya aku lebih mengenali diriNYA yang telah lama aku biarkan menonton olahanku, lakonanku yang sering melupakannya. Diletakkan aku di sini, menghabiskan masa dengan beribadah, mengingati kebesarannya dengan melihat kejadian alam di sekitar kawasan sekolah. Syukran ya Allah kerana aku tidak Engkau biarkan jauh dari Mu. Ya Allah, aku pohon moga kedua2 kami suami isteri mampu meraih cintaMu yang pernah kami gapai dahulu, moga perpisahan yang Engkau berikan ini membuat hati kami bertaut menjadi lebih kukuh hanya kerana cinta kepada Mu...

Friday, August 20, 2010

Perjuangan Mujahadahku

Setelah sekian lama menunggu saat bergelar seorang pendidik, akhirnya aku telah secara rasminya bergelar guru sebaik sahaja melapor diri pada taklimat 16 Ogos yang lalu. Perjalanan hidup sebagai seorang guru bermula dengan taklimat selama 2 hari 1 malam yang diadakan di Mega Hotel,Miri. Seramai 77 orang rakan guru menghadiri taklimat yang amat penting bagi kami guru permulaan.Pelbagai soalan dilontarkan, lebih-lebih lagi mengenai keadaan sekolah, kemudahan yang ada. Antara soalan famous yang ditanya guru-guru ialah ada line telefon ka?, kemudahan internet macamana?..Kesian guru-guru baru. Semuanya risau dengan keadaan masing-masing.

Hari kedua, pegawai dari PPD Baram, Cikgu Badrol mengumumkan sekolah-sekolah yang akan berangkat terus sebaik sahaja tamat taklimat. Tunggu punya tunggu, nama sekolahku disebut juga.SK Long Sepiling, guru besar tidak datang menjemputku. Ini kerana keadaan sekolah yang agak senang untuk dicari menyebabkan beliau tidak turun ke Marudi. Lagipun, sekolah memang telah sedia ada kekurangan kakitangan membataskan lagi beliau untuk pergi keluar.

Taklimat tamat jam 1 petang dan kami berangkat ke Marudi menggunakan pajero pada jam 2.30 petang. Pajero telah sarat dengan barang-barang. Oleh itu, barangku semuanya telah diletak dan dibawa oleh Hilux kepunyaan Cikgu Badrol. Perjalanan yang menempuh bukit bukau, lereng bukit, jalan tanah, dan ladang-ladang memang memenatkan. Aku enak tidur di sebelah ibuku sepanjang perjalanan manakala ibuku kerisauan sepanjang perjalanan. Bagiku perjalanan itu tidaklah seteruk perjalanan ke sekolah suamiku. Tahniah diucapkan buat suamiku kerana masih setia berkhidmat di tempat yang sukar perjalanannya. Moga Allah merahmati setiap langkah perjuanganmu.

Perjalanan yang memabukkan itu akhirnya tamat setelah selamat tiba di Marudi. Perjalanan yang memakan masa 2 jam setengah akhirnya selesai. 9 orang penumpang di dalam pajero semuanya melepaskan nafas kelegaan apabila pajero yang dinaiki selamat sampai di Grand Hotel Marudi. Aku dan ibuku menyewa sebuah bilik hotel untuk tempat melepaskan kepenatan yang ditanggung selama beberapa hari. Pada petang itu, kami mengambil kesempatan untuk berjalan sebentar mencari juadah berbuka puasa. Setelah itu, kami kembali ke hotel. Perjalanan yang agak memenatkan menyebabkan kami membuat keputusan untuk berehat sebentar dan hanya selepas solat maghrib keluar untuk mencari makanan berat. Selesai segala urusan mengisi perut dan beribadah di bulan Ramadhan, aku melelapkan mata di katil hotel.

Esok paginya setelah sahur, kami sibuk mengemas barang di hotel dan bersiap-siap untuk ke terminal bot ekpress.Pada awalnya, rancangan kami untuk menyewa teksi untuk menghantar barang ke terminal, tapi alhamdulillah, rezeki kami di awal pagi, manager hotel sendiri sanggup menawarkan diri menghantar ibuku dan aku ke terminal. Tiba di terminal, terjumpa dengan orang yang sekampung dengan kami. Alangkah kecilnya dunia ini.. Subhanallah. Perjalananku seolah dipermudahkan oleh NYA. SYukran ya Allah.

Bot ekpress yang dinaiki mula bergerak tepat jam 8.00 pagi. Sungguh menepati masa empunya bot tersebut. Di dalam bot tersebut aku masih dapat mendengar berita mengenai sekolah aku nanti. Kebanyakkan mereka mengatakan sekolah itu bagus dan senang. Perasaan yang tidak sabar menyelubungi diri setelah mendengar cerita yang pelbagai.Jam 10.40 pagi aku sampai di sekolah disambut oleh Guru Besar, 3 orang guru perempuan dan murid-murid tahun 6 dan 5. Murid-murid inilah yang menolong mengangkat barang-barangku naik ke rumah. GB memberi aku rehat sebentar supaya aku mempunyai masa untuk mengemas barang. Pesannya petang nanti baru jumpa di pejabat..

Setelah selesai urusanku di rumah, ibu menyuruh aku pergi melapor diri ke sekolah. Akhirnya aku telah secara rasminya melapor diri di SK Long Sepiling pada 18 Ogos 2010. Alhamdulillah, aku sudah punya pekerjaan. Aku sudah boleh membantu suami tercinta, mengurangkan bebannya. Alhamdulillah.Ini bermakna beban mendidik dan membentuk manusia menjadi insan berguna telah bermula. Aku di sini menggantikan tempat seorang guru lelaki. Pada mulanya aku menjangka bahawa aku akan mengajar subjek opsyenku, tapi salah sangkaan ku. Rupanya aku hanya mengajar subjek minor ku. Sains tahun 1 hingga 3, kajian tempatan tahun 4 hingga 6 dan pendidikan moral tahun 5. Jadual dah dapat ,esok akan mula mengajar. 21 waktu satu minggu. Bukan satu bebanan kerja yang besar buatku. Moga urusanku sentiasa dipermudahkan Allah.

~Buat suami yang berada jauh di mata, tetapi sentiasa di hati. Isterimu sihat sahaja dan telah dapat menyesuaikan diri di sekolah ini. Doakan daku dalam setiap doamu. InsyaAllah doaku sering mengiringi perjuanganmu di sana. Kita sama2 mencari syahid, membentuk insan, meneruskan risalah perjuangan rasul. Moga kita beroleh redha dan rahmat dalam perjuangan ini.

p/s: Gambar di kawasan ini akan diuploadkan pada waktu yang lain. Belum berkesempatan untuk ambil gambardi sekolah.

Tuesday, August 10, 2010

Dosa pada Awal Ramadhan

~Ramadhan baru bermula dan aku telah melakukan dosa. Dosa yang tidak diampun Allah melainkan dari keampunan dari insan itu. Dosa sesama manusia andai tidak dimaafkan oleh sesama manusia, tidak dapatlah dipohon ampun dari yang Maha Esa.

~ Andainya hari-hari dalam Ramadhan ini ku penuhi dengan dosa noda yang sebegini, pasti puasa ku pada tahun ini tiada maknanya, tiada erti dan sia-sia.Adakah ini sebab Allah meletakkan aku di hujung dunia agar aku dapat belajar mengawal erti kesabaran, mengawal kata-kata, belajar menghargai insan penting dalam hidup.

~ Adakah aku telah berubah menjadi insan jauh tidak kenal apa itu iman, takwa, ihsan?.aku mungkin mengerti maksudnya, tapi tidak menghayati. Mungkin aku telah jauh dari cinta dan halawatul iman. Jauh dari tawakal kepada Allah. Jauh dari nur cinta Allah.

~ Ya Allah, aku ingin kembali pada fitrah ku dahulu. Fitrah yang sering merindukan Rasul Mu, kasih sayang dan cintaMu. Aku sering menangis kerana rindukan RasulMu, rindukan cinta dan kasihMu. Ya Allah, ke mana hilangnya diri itu? ke mana perginya hati itu?.Ya Allah, aku ingin kembali padaMu.Ya Allah, bantulah hamba ini untuk kembali kepada diri ini yang pernah menangis hanya keranaMu..

~Semoga Ramadhan ini aku akan ketemu kembali diri yang kehilangan jasad dan rohnya.